Berita Utama

Individu malu berbahasa Melayu tiada jati diri, mudah dipengaruhi

Contohi Jepun dan Indonesia yang pertahankan bahasa ibunda

BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu – Individu malu untuk berbahasa Melayu adalah mereka yang tiada jati diri dan merupakan golongan mudah dipengaruhi.

Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, individu berkenaan seharusnya menjiwai bahasa Melayu supaya wujud rasa kecintaan ke atas bahasa kebangsaan serta memastikan ia terus dimartabatkan dan bukannya membiarkan sahaja.

“Tidak salah untuk bercakap bahasa lain tapi perlu mengikut kesesuaian dan majlis, kenapa perlu kita berbahasa lain jika hanya dalam kelompok kecil yang semuanya adalah masyarakat Melayu tetapi sekiranya majlis yang dihadiri dalam kelompok besar dan antarabangsa itu tidak menjadi kesalahan.

“Sepatutnya bangga dengan bahasa ibunda kita bukannya malu, contohilah masyarakat Indonesia dan Jepun mereka bangga bahasa dan mengagungkan bahasa ibunda mereka sehingga memerlukan pihak lain tunduk dan patuh dengan bahasa mereka.

“Itu sepatutnya, bukan terus mudah dipengaruhi dan membiarkan dan keadaan itu seolah-olah melenyapkan bahasa ibunda sekiranya tidak diasah lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong yang mendedahkan masyarakat kini lebih gemar berbahasa Inggeris berbanding bahasa ibunda sendiri.

Mengulas lanjut, Prof Ramlah agak kecewa apabila ada kajian menunjukkan generasi muda masih tidak mampu bertutur bahasa Melayu yang sudah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan baik, sama ada dalam perbualan seharian atau ketika berada di sekolah.

Disebabkan keadaan itu, beliau menegaskan usaha lebih berkesan perlu dilaksanakan pada peringkat kerajaan dan orang ramai bagi mengubah keadaan ini.

“Perlu perketatkan lagi penggunaan dan terbukti sebelum ini apabila pemimpin meletakkan syarat untuk dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Usaha seperti ini yang kita perlukan mungkin, usaha berterusan juga perlu dilakukan di peringkat sekolah walaupun di luar sesi persekolah mereka mengamalkan bahasa rojak,” ujarnya.

Ditanya mengenai penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat hari ini, beliau berpendapat perkara itu tidak ada salahnya dan bukan digunakan untuk kegunaan rasmi.

“Semua ini berlaku disebabkan peredaran masa dan perubahan masyarakat serta zaman turut bertukar.

“Evolusi perubahan bahasa ini berlaku dan pada saya ia bukan satu kesalahan, bagaimanapun dibimbangi mutu penggunaan bahasa Melayu anak muda menjadi tidak baik oleh pengaruhnya. Untuk itu, amat perlu perjuangan memartabatkan bahasa Melayu diteruskan supaya ia tidak pupus ditelan zaman,” katanya.

Tegas beliau, sikap patriotik terhadap bahasa Melayu perlu diterapkan dalam setiap sanubari rakyat Malaysia yang cinta akan negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button