‘Jika ada kluster sekolah, Menteri Pendidikan sila letak jawatan’: Netizen
Ibu bapa tak setuju sesi persekolahan secara semuka dibuka pada Oktober

BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu – Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober ini, ternyata tidak disenangi oleh kebanyakan ibu bapa.
Ini berikutan, rata-rata mereka meluahkan rasa bimbang dengan keadaan kes jangkitan harian semasa di seluruh negara yang masih di tahap tinggi, meskipun kadar vaksinasi penduduk dewasa memuaskan.
Tentangan sama sudah pernah disuarakan kebanyakan ibu bapa di media sosial sebelum ini, dan ia kembali hangat diperbincangkan sebaik Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan perkara itu, semalam.
Berdasarkan tinjauan Ismaweb.net di Facebook, rata-rata ibu bapa tidak bersetuju dengan keputusan KPM untuk membuka semula sekolah, kerana bimbang akan tercetus kluster baharu membabitkan pelajar.
Malah, kebanyakan mereka juga menganggap keputusan itu merugikan kerana sesi persekolahan bermula ketika hampir kepada penghujung penggal sebelum cuti akhir tahun.
“Jika nak buka sangat, bagi pelajar kelas peperiksaan sahaja. Tinggal beberapa minggu sahaja dah nak cuti akhir terus, teruskan habiskan saja PdPR.
“Jangan ambil risiko la YB menteri! Anak-anak tahun 1 hingga 6 tidak divaksin dan mereka tidak faham SOP,” kata Fadzil Jamal.
“Saya tak berani hantar anak ke sekolah. Kes masih tinggi lagi,” tulis Puteri Smkbj.
Pemilik akaun Mazzuan Azid pula menuntut jaminan kementerian dalam menetapkan keputusan itu, terutama jika berlaku jangkitan dalam kalangan murid di sekolah.
“Berani buka berani tanggung. Kalau ada kluster sekolah, sila letak jawatan, ada berani?,” kata Rayme Azuan.
“Tak perlu gopoh sangat nak buka sekolah buat masa ini. Kes masih tinggi di semua negeri. Harap buat keputusan bijak. Kesian budak jadi mangsa,” kata Shamil Said.
Menerusi pengumuman Radzi semalam, sesi berkenaan tidak akan membabitkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Beliau berkata, keputusan membuka sesi persekolah bermula 3 Oktober dibuat berdasarkan penelitian lanjut yang dibuat selain mengambil kira pertimbangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sesi persekolahan juga akan diperketatkan.