
BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu – Lembah Klang sudah bersedia beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) susulan penurunan kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan dan pusat kuarantin.
Naib Presiden i-Medik, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, keupayaan perkhidmatan kesihatan negara juga kini lebih baik berbanding beberapa bulan lalu ketika peningkatan kes COVID-19 yang ketara.
Katanya, bermakna kadar vaksinasi yang meningkat di negara ini sudah diterjemahkan dengan pengurangan gejala yang serius dalam kalangan individu sudah divaksinasi.
“Bagaimanapun, apabila Lembah Klang sudah masuk fasa dua, terdapat beberapa perkara perlu dilaksanakan secara berterusan, iaitu vaksinasi secara terus atau ‘walk-in’ diteruskan kerana masih ramai individu belum mendaftar.
“Selain itu ujian Rapid Test Kit Antigen (RTK-Antigen) secara berkala perlu dijadikan rutin. Malah sebahagian prosedur operasi standard (SOP) juga perlu dikekalkan bagi mengawal kes baharu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Dr Rafidah Hanim berkata, walaupun Lembah Klang akan beralih ke fasa dua kelak, masyarakat harus menyedari rangkaian jangkitan virus berkenaan masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
“Fasa dua lebih ke arah memulihkan sektor ekonomi, sosial dan pendidikan. Justeru norma baharu masih perlu diamalkan masyarakat dan hanya keluar untuk urusan penting serta menghadkan pertemuan secara bersemuka.
“Teruskan jaga jarak, basuh tangan, pakai dua lapisan pelitup muka dan lebih baik sekiranya disekalikan dengan pelindung muka (face-shield). Patuhi arahan premis yang meminta menunjukan sijil digital vaksinasi,” katanya.