Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Muhyiddin jalan tugas sukarela tanpa imbuhan

Rakam penghargaan kepada jemaah menteri, PM atas pelantikan

BANGI, 26 Muharram 1443H, Sabtu – Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan kepada jemaah menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kepercayaan yang diberikan dalam pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

Beliau turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau berbesar hati menerima pelantikan berkenaan dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan adalah suatu amanah untuk meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini bagi memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

“Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu YAB Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan seperti mana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

“Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat ‘Keluarga Malaysia’ bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup serta memulihkan negara akan mencapai kejayaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button