Berita Utama

Buka segera Parlimen, rakyat tak mahu lagi dengar alasan

Segala perbelanjaan negara mesti dibahaskan: Penganalisis politik

BANGI, 23 Syawal 1442H, Jumaat – Kes COVID-19 di Malaysia yang masih tinggi melebihi 7,000 kes setiap hari menunjukkan kegagalan kerajaan menangani pandemik itu, walaupun sudah lebih lima bulan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dilaksanakan bermula 11 Januari lalu.

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, sidang Parlimen yang digantung meskipun Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri menjadi antara yang terawal menerima suntikan vaksin tidak memaparkan sudut pandang yang baik mengenai imej mereka terhadap rakyat.

Alasan demi alasan yang diberikan untuk tetap menangguhkan sidang Parlimen di kala keadaan pandemik semakin kritikal hanya menambah muak rakyat dan nilai negatif terhadap para politikus.

“Ini menyebabkan ramai di kalangan warganet mempertikaikan apakah fungsi menteri-menteri dan timbalan menteri yang dilantik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di United Kingdom (UK) pada tahun lepas, ketika COVID-19 sedang serius melanda, yang menyebabkan kematian sehingga 200-300 sehari, semua menteri diberi peluang untuk menjelaskan apakah yang sedang dan akan dilakukan. 

“Ianya dibuat secara berdepan dengan wartawan dan berlaku soal jawab. Semua dilihat menjalankan tugas dan tanggungjawab. Hari ini di UK, para penonton sudah boleh masuk ke stadium walaupun belum dalam kapasiti yang maksimum. 

“Mereka boleh membuat tunjuk perasaan menghentam Israel, tanpa sebarang rasa takut. Program vaksinasi mereka yang begitu menyeluruh telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Shahbudin berkata, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan sekarang adalah menarik balik perintah darurat dan membuka sidang Parlimen.

Beliau menegaskan, perbelanjaan negara yang telah dibelanjakan mesti dibahaskan.

“Ini adalah penting, supaya lebih nampak telus dan segala isu tentang COVID-19 boleh dibincangkan bersama Ahli Parlimen,” katanya.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menempelak cadangan sesetengah Ahli Parlimen yang mahu Parlimen bersidang dengan segera.

Katanya, Parlimen bukan tempat yang selamat kerana persidangan akan melibatkan lebih 1,000 individu dalam satu-satu masa.

“Kalau mereka ini duduk dari pagi sampai petang, ini akan menjadi ‘hotspot’ COVID-19. Kalau kita kawal sekarang ini, tidak adalah kluster,” katanya.

Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, satu mesyuarat telah diadakan secara maya antara pihaknya dan kedua-dua Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang Dipertua bagi membincangkan perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button