95,000 pelajar sekolah menengah di Terengganu layak vaksin
Dungun rekod daerah paling ramai belum terima suntikan

MARANG, 27 Muharram 1443H, Ahad – Kira-kira 95,000 pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di Terengganu layak menerima vaksinasi COVID-19 sebagai persediaan menjelang pembukaan sesi persekolahan tidak lama lagi.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, program vaksinasi itu akan dilaksanakan selepas menerima garis panduan pelaksanaan imunisasi kepada pelajar.
“Apabila kita mendapat garis panduan pelaksanaannya, insya-Allah, program vaksinasi akan dimulakan kerana kita mempunyai kemampuan dari segi kapasiti, lokasi dan sumber manusia, bagaimanapun ia bergantung kepada bekalan vaksin.
“Kita berusaha agar semua kumpulan pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun itu dapat divaksin,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.
Dalam pada itu, Kasemani berkata, 86 peratus daripada 808,400 rakyat negeri ini yang layak divaksin sudah menerima suntikan pertama.
Jumlah itu menjadikan baki penduduk yang masih belum divaksin seramai 122,436 orang dengan Dungun merekodkan angka paling ramai iaitu 37,843 orang.
Beliau berkata, pihaknya kini giat meningkatkan jumlah penerima vaksin COVID-19 terutama di daerah berkenaan yang masih rendah dengan membuka PPV integrasi di samping meneruskan program ‘outreach’ secara berkala.
Katanya, inisiatif itu sedikit sebanyak membuahkan hasil termasuk menerusi program Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movac) yang dianjurkan setiap hari, selama dua minggu.
“Jadi, kita galakkan lebih ramai hadir ke mana-mana PPV sama ada secara temu janji atau terus bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi memastikan kita berjaya mencapai imuniti kelompok bulan depan,” katanya.