Berita Utama

Bekalan air di 463 kawasan terjejas pulih sepenuhnya

Air Selangor ucap terima kasih kepada para pengguna atas kesabaran dan kerjasama

PETALING JAYA, 27 Muharram 1443H, Ahad – Bekalan air ke semua 463 kawasan di Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat yang terjejas oleh gangguan tidak berjadual itu dipulihkan sepenuhnya, tengahari ini (5 September), kata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri mengatakan bahawa gangguan air berlaku kerana henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg. Semenyih) berikutan insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama mereka dalam tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, para pengguna disarankan untuk mendapatkan maklumat rasmi gangguan bekalan air menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com. 

“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button