Gelombang COVID-19 ke-5, Jepun lanjut darurat di Tokyo
Kes harian seluruh negara cecah 16,729, dengan 63 kematian

TOKYO, 27 Muharram 1443H, Ahad – Jepun merancang melanjutkan darurat di sekitar Tokyo hingga minggu terakhir bulan ini dalam usaha mengekang epidemik coronavirus, lapor akhbar Mainichi.
Bulan lalu, negara itu memperluaskan sekatan darurat meliputi sekitar 80 peratus penduduknya hingga 12 September, namun jumlah kes yang membimbangkan dan tekanan sistem perubatan yang belum berkurang di Tokyo dan kawasan sekitarnya sukar bagi membolehkan sekatan tersebut ditarik.
Kerajaan merancang untuk melanjutkan sekatan sekitar dua minggu di Tokyo dan wilayah Kanagawa, Saitama dan Chiba yang berhampiran, kata Mainichi tanpa menyebut sumber.
Dalam keadaan darurat, kerajaan berusaha mengurangkan lalu lintas dengan meminta restoran untuk memendekkan waktu operasi dan syarikat membenarkan pekerja bekerja dari rumah dengan lebih kerap.
Lanjutan itu akan mengambil masa hingga minggu keempat bulan September – yang mempunyai dua cuti umum dan waktu kebanyakkan penduduk membuat rancangan perjalanan.
Kerajaan juga akan mempertimbangkan lanjutan di daerah tengah dan barat Jepun, termasuk Aichi dan Osaka, kata surat khabar itu sambil menambah keputusan kemungkinan akan dibuat pada pertengahan minggu berikutnya.
Ia akan mempertimbangkan untuk mengurangkan atau menarik semula darurat di wilayah yang menyebabkan katil hospital bebas ke tahap yang tidak kritikal, kata Mainichi.
Jepun berdepan gelombang kes COVID-19 yang kelima dan terbesar, didorong oleh varian Delta yang cepat menular.
Pada Jumaat lepas, kes harian baru di seluruh negara mencecah 16,729, dengan 63 kematian. – Agensi