Individu masuk Malaysia perlu sahkan sijil vaksin di PKD
Petugas kesihatan akan semak di pintu masuk antarabangsa negara

JOHOR BAHRU, 27 Muharram 1443H, Ahad – Semua individu yang memasuki negara ini – termasuk rakyat Malaysia – mesti mengesahkan sijil vaksinasi mereka dengan pihak berkuasa di sini, kata Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Rakyat Malaysia yang telah diinokulasi di negara lain seperti Singapura harus pergi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk menyatakan bahawa mereka telah divaksinasi di luar negara,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Beliau berkata, mereka dikehendaki membawa dokumen atau sijil sebagai bukti telah menerima suntikan vaksin di luar negara bagi tujuan penilaian ketulenan serta mengetahui jenis vaksin yang diterima.
Selepas disahkan PKD, Jabatan Kesihatan Negeri akan menghantar (maklumat dan data) ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Negara (CPRC) di Putrajaya dan pusat itu akan memaklumkan kepada MySejahtera untuk mengemas kini dan mengeluarkan sijil digital dalam aplikasi telefon.
Adham berkata, pensijilan vaksin COVID-19 dari luar negara adalah salah satu penambahbaikan yang dibuat dalam aplikasi MySejahtera selain pengenalan butang check-out untuk mempermudah proses pengesanan kontak.
“Tidak kira sama ada mereka adalah rakyat Malaysia atau warga asing, yang penting ialah kita ingin mengesahkan sama ada perakuan vaksinasi yang diberikan di luar negara adalah tulen atau tidak dan kita dapat mengetahui jenis vaksin yang mereka terima,” katanya.
Katanya, bagi individu yang telah mendapat vaksin COVID-19 di luar negara dan perlu masuk ke negara ini bagi tujuan pembukaan sektor ekonomi, sijil vaksinasi akan disemak dan disahkan oleh petugas kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara.