Berita Utama

Landskap politik masih terkebelakang meski 64 tahun negara merdeka

Ada pemimpin tak serius jalankan tanggungjawab, saling 'jatuh-menjatuh'

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

JOHOR BAHRU, 27 Muharram 1443H, Ahad – Kematangan berpolitik di negara ini masih terkebelakang berbanding negara Asia Tenggara yang lain, meskipun Malaysia sudah 64 tahun mencapai kemerdekaan.

Walhal, sesebuah negara perlu semakin ke hadapan, bahkan lebih maju dan matang dalam menghadapi cabaran politik semasa, kata pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Indonesia – negara yang memiliki hampir sepuluh kali ganda penduduk berbanding Malaysia – negara ini sepatutnya sudah keluar sebagai sebuah negara yang maju memandangkan saiznya tidak besar dan penduduk tidak terlalu ramai.

Hakikatnya, kematangan berpolitik republik itu terlalu jauh begitu juga dengan Thailand dan Brunei berbanding Malaysia.

Justeru bagi menangani perkara ini, Prof Ridhuan Tee berpendapat, pemimpin seharusnya mempunyai penegasan dan tidak perlu takut kepada tuntutan dan desakan kerana beliau telah dipilih oleh rakyat dan proses demokrasi itupun telah dilalui.

Namun memikirkan demokrasi negara ini yang ‘dicedok’ daripada Britain, beliau berkata, pemimpin yang ada bukanlah pilihan rakyat sepenuhnya kerana hampir separuh daripada mereka menolak.

“Tetapi oleh kerana kita mengambil majoriti mudah, merekalah wakil rakyat. Ini suatu perkara perlu dikaji semula. Tidak temasuk yang melompat (parti) dan sebagainya.

“Dalam soal ini, Indonesia sudah menunjukkan petanda-petanda begitu besar yang menampakkan sudah mula meninggalkan kita disebabkan oleh pemimpin dan ketegasannya dan tidak banyak berpolitik.

“Mereka lebih banyak memikirkan soal membangunkan negara, menjaga kebajikan rakyat dan begitu juga penegasan salah guna kuasa dan salah laku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel wawancara Sembang Merdeka bertajuk Majoriti: Dihitung atau dibela? yang dianjurkan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor Bahru hari ini.

Wawancara yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook ISMA Johor Bahru turut disertai Ketua Perhubungan ISMA negeri, Haji Mohd Tahir Hamdan.

Menjawab persoalan berhubung perubahan landskap politik, Ridhuan Tee berkata, negara berada dalam keadaan sangat rapuh dengan majoriti tipis selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Malahan dengan tindakan Ahli Parlimen yang saling jatuh-menjatuh antara satu sama lain, menyukarkan lagi keadaan untuk menarik keyakinan pelabur luar.

Ini kerana jelasnya, asas utama bagi menarik pelabur ialah negara mesti aman, stabil dan tidak goyah seperti Indonesia.

“Selepas PRU14 kita dapat lihat politik kita berada dalam keadaan tidak stabil ditambah lagi dengan pandemik COVID-19.

“Parlimen menjadi huru-hara seolah-olah pemimpin tidak serius dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, saling jatuh-menjatuh, kejap nak undi percaya kejap tidak.

“Keadaan seperti ini tidak baik untuk negara kita apatah lagi untuk menyakinkan pelabur-pelabur luar untuk melabur lebih-lebih lagi di musim wabak ini.

“Ditambah pula dengan Parlimen seolah-olah macam sarkas, kita sendiri rasa malu dengan pelajar sekolah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button