Berita Utama

Pengikut ajaran sesat PMYT diarah serah diri

Jakim hantar wakil bantu siasatan bersama pihak polis

KOTA BHARU, 27 Muharram 1443H, Ahad – Semua pengikut ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) yang kini sedang diburu polis diminta segera tampil menyerah diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihak polis kini sedang mencari pengikut ajaran itu selepas ketua ajaran yang digelar Sittah Annur ditahan, semalam.

Katanya, polis sudah mula menjalankan siasatan dan semua pengikut Sittah Annur supaya dinasihatkan menyerah diri dengan segera. 

“Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan menghantar wakil untuk membantu siasatan kes tersebut bersama pihak polis,” katanya.

Ahmad Marzuk seperti dilapor Kosmo memaklumkan, Jakim kini sudah membentuk pasukan khas yang terdiri daripada individu yang mempunyai kepakaran dalam aspek ajaran sesat.

Susulan itu, segala keputusan mengenai dakwaan kesesatan ajaran PMYT akan diketahui selepas polis melengkapkan siasatan kes tidak lama lagi. 

Semalam, polis menahan seorang wanita yang dipercayai ketua ajaran sesat ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, wanita tempatan berusia 39 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan pada 29 Ogos lalu berhubung satu rakaman video dimuat naik di YouTube milik suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemuliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, atas alasan agama dan menyebarkan berita palsu.

Turut disiasat Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button