Berita Utama

Tak perlu usul undi percaya terhadap PM

Keabsahan pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikaikan

BUKIT GANTANG, 27 Muharram 1443H, Ahad – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berpandangan bahawa tiada keperluan untuk melakukan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Parlimen.

Idris berkata, keabsahan pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikaikan memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik perdana menteri di bawah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sepatutnya tidak perlu ada usul undi percaya, itu pendirian saya,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri dan kerajaan yang telah dibentuk mengikut lunas undang-undang.

Idrus dilaporkan berkata, langkah mengabsahkan pelantikan perdana menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Idrus, nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara menerusi surat akuan pada 18 Ogos lepas.

Susulan itu, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap seramai 114 Ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan iaitu Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera.

Pada 21 Ogos lepas, Perdana Menteri yang baharu telah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button