Berita Utama

Vaksinasi remaja bawah 18 tahun di Sarawak bermula Rabu ini

Negeri sudah capai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasa

KUCHING, 27 Muharram 1443H, Ahad – Vaksinasi COVID-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka akan bermula Rabu ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, ketika ini negeri itu di peringkat akhir melaksanakan persiapan untuk melaksanakan vaksinasi kumpulan berkenaan.

“Sekarang kita sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam bahawa program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini.

“Ini kerana Sarawak sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya telah divaksin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Uggah berkata setelah persiapan selesai, pengumuman secara terperinci berkaitan pelaksanaan proses vaksinasi itu akan dilakukan.

Sementara itu, Uggah sekali lagi merayu kepada sebilangan kecil rakyat Sarawak yang menolak atau masih enggan disuntik vaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

Beliau berkata, selagi ada individu yang tidak divaksin, mereka bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri malah orang lain di sekeliling.

“Lebih-lebih lagi sekarang, terdapat banyak kes positif dan varian Delta yang lebih mudah berjangkit,” tambahnya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button