Berita Utama

Cadang tambah kaunter bergerak JPJ

Mudahkan orang ramai berurusan secara pandu lalu

KUALA LUMPUR, 28 Muharram 1443H, Isnin – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menerima cadangan untuk menambah kaunter bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau ‘JPJ mobile’ kerana ia dilihat lebih memudahkan orang ramai untuk berurusan secara pandu lalu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bagi meninjau hari pertama pengoperasian semula kaunter-kaunter JPJ di Wangsa Maju, hari ini.

Beliau memaklumkan, mulai hari ini kaunter JPJ di seluruh negara mula beroperasi dengan kapasiti 100 peratus secara ‘walk-in’.

Mengulas mengenai cadangan penambahan kaunter bergerak JPJ, Ka Siong berkata, ia juga membolehkan orang ramai yang masih belum lengkap divaksinasi untuk meneruskan urusan mereka, berbanding jika berurusan di kaunter yang diwajibkan lengkap vaksinasi.

“JPJ Wangsa Maju sebagai antara cawangan yang paling sibuk, menerima pelanggan sekitar 1,200 sehari ketika kaunter dibuka secara janji temu dalam talian.

“Namun, angka pengunjung meningkat kepada 2,000 selepas ia dibuka secara ‘walk-in’. Ini sekaligus mempercepatkan urusan orang ramai,” katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh berurusan menerusi portal-portal yang disediakan seperti MySikap JPJ, MyEG, Puspakom dan Pos Malaysia Berhad secara dalam talian bagi urusan yang berkaitan.

Malah, kaunter berkelompok juga disediakan bagi memudahkan urusan orang ramai yang memerlukan urusan atau transaksi yang banyak menerusi syarikat swasta yang berkenaan.

“Selain itu, keutamaan turut diberikan kepada warga emas dan OKU untuk semua urusan di kaunter JPJ.

“Dalam lawatan ini saya diiringi oleh Pengarah JPJ WPKL, EZaki Ismail dan Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ WPKL, Ahmad Kamarunzaman Mehat.

“Syabas saya ucapkan kepada seluruh warga JPJ Wangsa Maju atas khidmat yang diberikan kepada orang ramai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button