Berita Utama

Hospital Putrajaya sedia laksana vaksin remaja 18 tahun ke bawah

Pihak hospital kini tunggu arahan untuk laksana program

BANGI, 28 Muharram 1443H, Isnin – Remaja berusia 18 tahun ke bawah kini berpeluang mendapat vaksinasi selepas Hospital Putrajaya bersedia melaksanakan program suntikan berkenaan di Pusat Pemberian Vaksin Khas (PPVK).

Remaja terbabit terdiri daripada pesakit yang dirujuk doktor pakar di hospital berkenaan termasuk rujukan dari pusat kesihatan luar serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam.

Ketua Unit Kesihatan Awam yang juga Ketua Penyelaras Program Vaksin Hospital Putrajaya, Dr Siti Alia Elliza berkata, pihaknya kini menunggu arahan untuk melaksanakan program itu.

“Setakat hari ini kami sudah melaksanakan pemberian vaksin jenis Comirnaty kepada 5,115 penerima bermula Mei lalu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

PPVK yang beroperasi di luar hospital itu sebahagiannya diadakan secara kerjasama dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd bermula 19 Julai lalu bertujuan meningkatkan jumlah pemberian vaksin.

Bermula minggu ini, media melaporkan remaja berusia bawah 18 tahun bakal menerima suntikan vaksin COVID-19.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif itu akan dimulakan di Sarawak berikutan kelancaran pemberian vaksin di negeri itu yang kini sudah mencapai lebih 80 peratus populasi dewasanya divaksin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button