Berita Utama

Lompat parti khianat demokrasi, rosakkan imej Parlimen

Undi 18 beri ruang generasi muda tunjuk kemampuan urus negara

BANGI, 28 Muharram 1443H, Isnin – Melihat kepada situasi politik semasa, Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti wajar dilaksanakan segera.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kampus Raub, Dr Ilyas Abdullah berkata, Perlembagaan dibentuk seawal negara mencapai kemerdekaan, tidak mewujudkan akta untuk tujuan itu dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Bahkan, tindakan itu dijadikan asas lanjut bahawa demokrasi sebenarnya mengizinkan Ahli Parlimen untuk berbuat demikian.

“Bagaimanapun, sekiranya Parlimen ingin bergerak menjadi badan perundangan kelas pertama, tindakan lompat parti tidak patut dijadikan amalan Ahli Dewan Rakyat.

“Selepas dipilih rakyat dalam pilihan raya, lompat parti jelas membelakangkan amanah diberikan pengundi.

“Tindakan itu boleh dianggap pengkhianatan terhadap demokrasi, seterusnya merosakkan imej Parlimen itu sendiri,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Difahamkan, penggubalan Akta Anti Lompat Parti memerlukan sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen bagi meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, mengulas isu pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) pula, Dr Ilyas berkata, ia juga perlu segera dilaksanakan.

Ini bagi memastikan generasi muda diberi ruang menempatkan diri dalam politik untuk menunjukkan kemampuan mengurus hal ehwal berkaitan rakyat dan negara.

Beliau berkata, menidakkan hak generasi muda terbabit dalam pilihan raya – sama ada sebagai calon atau pengundi – ibarat menentang aspirasi generasi muda.

“Golongan itu harus berada dalam lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian pihak yang terbabit dalam proses mempengaruhi dasar awam.

“Di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif secara intelektual dan matang,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan media menyatakan, hak mengundi automatik dan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun hanya akan dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran cabaran yang dihadapi oleh SPR ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button