Dunia

UK belum putuskan vaksinasi kanak-kanak sihat

Kerajaan adakan rundingan dengan penasihat perubatan

LONDON, 28 Muharram 1443H, Isnin – Britain belum memutuskan pemberian vaksinasi COVID-19 kepada kanak-kanak sihat berusia 12 tahun hingga 15 tahun di negara itu, kata Menteri Kesihatan, Nadhim Zahawi.

“Tiada keputusan akan dibuat (dalam masa terdekat) sehingga kami mendapat maklum balas daripada ketua pegawai perubatan,” katanya kepada agensi berita, BBC.

Jumaat lalu, Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi Britain (JCVI) menolak cadangan pemberian vaksinasi untuk kanak-kanak dalam kumpulan itu, susulan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko radang jantung yang jarang berlaku.

Kerajaan kini sedang mengadakan rundingan dengan penasihat perubatan mengenai pertimbangan terhadap cadangan itu, termasuk kesannya pada sesi persekolahan.

Terdahulu, sebahagian menteri dan pakar perubatan menggesa pemberian segera vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun hingga 15 tahun yang sihat, namun kerajaan enggan mengambil risiko terhadap keputusan itu.

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat (AS), Israel dan beberapa negara Eropah sudah melaksanakan pemberian vaksinasi kepada golongan kanak-kanak.

Britain sebelum ini membenarkan kanak-kanak berumur 12 tahun hingga 15 tahun yang terdedah jangkitan COVID-19 menerima vaksinasi, termasuk individu yang berusia 16 tahun ke atas.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button