Berita Utama

Usul undi percaya PM dapat wujud amalan ‘good governance’

Penting supaya tiada lagi pihak persoal keabsahan kerajaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Muharram 1443H, Isnin – Timbul pertikaian mengenai usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila ada pihak mengesyorkan supaya proses itu tidak diteruskan. 

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada Sabtu menyatakan, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri dan kerajaan yang telah dibentuk kerana mengikut lunas undang-undang.

Begitu juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Ahmad berkata, keabsahan pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikai berikutan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri di bawah Yang di-Pertuan Agong. 

Mengakui tiada peruntukan nyata di dalam Perlembagaan dan bukan sebahagian proses keabsahan, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yakin amalan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Parlimen dapat mewujudkan satu amalan ‘good governance’ yang baik.

Pakar Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu percaya titah Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos lalu, adalah demi mewujudkan amalan ‘good governance’ dan Perlembagaan yang telus.

Beliau berkata, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini adalah bertitik tolak daripada suasana yang tidak stabil ketika pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Melihat keadaan sama bagi pelantikan Perdana Menteri semasa, Dr Nik Ahmad Kamal percaya Seri Paduka Baginda melihat keperluan kepada satu mekanisme yang dapat memperkukuhkan keyakinan kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab.

“Undi percaya memastikan sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat itu jelas dan tiada siapa lagi yang boleh mempersoalkan keabsahan kerajaan tersebut.

“Sebelum ini Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengadakan undi percaya dan ia tidak menjadi isu ketika itu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya perdana menteri ke-9 yang dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.

Mengulas perkara itu, Dr Nik Ahmad Kamal berkata, kerajaan sekarang harus melihat titah Yang di-Pertuan Agong bertujuan baik dan seharusnya diikuti demi kelangsungan kerajaan yang stabil serta kukuh.

“Jika sebelum ini amalan undi percaya tidak diikuti, pengenalan kepada amalan ini dari perspektif Perlembagaan akan mewujudkan satu konvensyen baru dalam Perlembagaan yang dapat mengekalkan prinsip ‘good governance’ dalam sesebuah kerajaan.

“Oleh kerana sesebuah konvensyen hanya akan wujud dengan cara konsensus pemain-pemain dalam Perlembagaan tersebut, jika satu cadangan konvensyen yang dicadangkan tidak akan dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara mungkin mengambil pandangan berkenaan kerana tiada peruntukan nyata dalam Perlembagaan terhadap keperluan untuk usul undi percaya di Dewan Rakyat.

“Ini kerana, keabsahan pelantikan telah jelas dengan penyerahan suratcara lantikan serta sumpah rahsia dan taat setia oleh Perdana Menteri.

“Namun, jika kerajaan tidak bersetuju dengan undi percaya tersebut, amat baik jika Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong dan berbincang bagi mengelakkan salah faham serta persepsi tidak baik rakyat terhadap kerajaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button