Berita Utama

Abdul Azeez belum bebas tuduhan rasuah, gubah wang haram: SPRM

Kenyataan peguam bela hanya hujahan, belum diputuskan mahkamah

BANGI, 29 Muharram 1443H, Selasa – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum bebas daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Perkara itu ditegaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan merujuk kenyataan peguam bela Abdul Azeez, Amer Hamzah Arshad di Mahkamah Rayuan, semalam.

Menurut SPRM, Amer Hamzah berhujah bahawa analisis laporan kewangan oleh suruhanjaya sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah.

Bagaimanapun, SPRM menegaskan bahawa kenyataan peguam bela Abdul Azeez itu hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.

“Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Azeez sebelum ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu menolak permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan tersebut.

Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan itu kemudiannya didengar di Mahkamah Rayuan, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button