Berita Utama

Belum ada penduduk Gaza tolak vaksin kerana ‘takut’ agenda illuminati

Kerajaan ambil inisiatif buat cabutan bertuah galak penduduk divaksin

BANGI, 29 Muharram 1443H, Selasa – Semenanjung Gaza telah mula mengetatkan kembali prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di wilayah itu.

Perkara tersebut dikongsikan oleh aktivis yang juga Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, situasi COVID-19 di Gaza tidak terlalu membimbangkan memandangkan pergerakan keluar masuk penduduk dari wilayah itu sangat terhad.

Malah, katanya, ketika perang 11 hari Saif Quds, SOP dilonggarkan kerana penduduk meletakkan keutamaan menyelamatkan nyawa daripada roket dan bom.

“Selepas perang SOP masih diringankan kerana penduduk terlalu sibuk membangunkan semula Gaza.

“Ketika perang, Kementerian Kesihatan yang sebelumya mengiklankan jumlah positif COVID-19 setiap hari beralih mengiklankan jumlah syuhada yang terkorban dan cedera setiap hari.

“Bagaimanapun, saf solat di masjid sehingga kini masih lagi dijarakkan,” katanya.

Menurut Muhammad Nadir, hari ini Gaza kembali mengetatkan SOP apabila kebenaran masuk ke sebahagian pusat membeli-belah mewajibkan pemakaian pelitup muka, sementara pegawai kerajaan dan pemilik premis perniagaan juga diwajibkan mengambil vaksin.

Katanya, kerajaan juga mengambil inisiatif membuat cabutan bertuah untuk mereka yang mengambil vaksin bagi menggalakkan penduduk mengambilnya.

“Jenis vaksin yang ada sama ada Sputnik, Pfizer, Moderna dan lain-lain bergantung kepada sumbangan daripada negara yang memberikannya kepada Palestin.

“Di Gaza, akibat kejahilan sebahagian kecil penduduk takut untuk mengambil vaksin atas alasan kesan kepada kesihatan, tetapi tidak pernah kedengaran orang menolak vaksin kerana takut ia agenda illuminati dan Freemason apatah lagi projek Yahudi dan WHO untuk membunuh umat Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button