Pendapat

Israel koyak lagi!

6 warga Palestin berjaya lolos dari penjara tamparan keras memalukan institusi keselamatan dan kerajaan Israel

PRISON Break 2021 – Penjara Gilboa, Israel.

Mereka koyak – sekali lagi!

Penjara ini terletak di utara Palestin dan dibina pada tahun 2004 berhampiran penjara Shatta di daerah Beesan. Ia adalah penjara keselamatan tinggi dan dikatakan sebagai penjara paling kebal dan paling canggih yang menempatkan para tahanan Palestin.

Untuk makluman, Israel kini sedang memenjarakan lebih kurang 4,750 orang tahanan di dalam berbelas-belas penjara yang di antara para tahanan itu termasuk 42 orang wanita, 200 orang kanak-kanak dan 550 tahanan pentadbiran.

Tindakan melarikan diri oleh enam orang tahanan Palestin ini dari penjara yang paling ketat dan kebal awal hari ini merupakan satu tamparan keras yang sangat memalukan institusi keselamatan dan kerajaan Israel sendiri.

Bagi rakyat Palestin, kejayaan enam orang saudara mereka melarikan diri dengan penuh nekad dan berani dari penjara musuh telah diraikan dengan penuh kegembiraan.

Seolah-olah mereka mengejek dan memperli ‘kecanggihan jentera keselamatan dan sistem penjara’ Israel. Sebelumnya, rejim penjajah ini telahpun dikalahkan sebanyak tiga kali di dalam siri-siri serangan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.

Dengan alat bantuan apakah keenam-enam tahanan Palestin ini melarikan diri?

Hanya dengan tangan mereka!

Tangan-tangan rakyat Palestin jugalah yang membakar tayar, menerbangkan belon-belon pembakar dan menyalakan unggun-unggun api yang besar siang dan malam, agar pihak musuh sedar bahawa penjajahan dan pencerobohan ini tidak akan dibiarkan tanpa perlawanan.

Insiden terkantoinya ‘kehebatan’, ‘kecanggihan’ dan ‘kekebalan’ sistem pertahanan dan penjara ini bagaikan tamparan yang sangat pedih, persis seperti mana tumbukan padu Khabib Nurmagomedov tepat ke arah Conor McGregor yang angkuh dan sombong!

Tahun 2004: “Kami telah mengambil pengajaran dari percubaan melarikan diri melalui terowong di Penjara Megiddo dan Shetta. Tidak ada siapapun yang akan berjaya melarikan diri dari Gilboa”. – Perkhidmatan Penjara Israel.

6 September 2021: Enam tahanan politik Palestin menggali terowong keluar dan membebaskan diri dari Penjara Gilboa!

Drama bersiri Prison Break selama lima musim pun tidak dapat menyamai kehebatan enam pahlawan Palestin yang pemberani ini!

Mohd Luttfi Abd Khalid

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button