Berita Utama

‘Pengalaman 34 tahun, pilih saya demi masa depan Putrajaya lebih baik’

Tolak pemimpin pentingkan diri, pilih calon ada visi misi jelas

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

PUTRAJAYA, 11 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Rakyat perlu memilih pemimpin yang ada visi dan misi yang jelas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) supaya kegemilangan Malaysia dapat dikembalikan.  

Sudah sekian lama negara mengalami krisis kepimpinan, justeru rakyat perlu menolak pemimpin yang hanya mementingkan diri sehingga melupakan tanggungjawab membangunkan negara ke arah lebih baik dan cemerlang.

Calon Pejuang Parlimen P125 Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, sekiranya keadaan ini berterusan, sudah tentu negara akan berada dalam kegelapan yang berpanjangan.

“Saya berpandangan negara ini boleh diperbaiki dengan adanya mereka yang berpengalaman untuk memimpin negara ke arah yang lebih baik. Itulah motivasi saya untuk terjun dalam bidang politik ini. 

“Walaupun saya boleh menikmati pencen dan sebagainya. Tetapi, melihat kepada keadaan kepimpinan yang ada pada hari ini saya tidak boleh berdiam diri. 

“Negara perlu diubah kepada keadaan yang lebih baik daripada pemimpin yang hanya pentingkan diri sendiri, mengaut, menjarah kekayaan negara bukan untuk diagihkan untuk rakyat yang amat memerlukan,” katanya.

Mohd Rosli yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Selangor berkata, beliau sudah berpengalaman dalam perkhidmatan awam selama lebih daripada 34 tahun. 

“Jadi tempoh masa yang panjang sudah tentu memberi makna kepada saya. Saya sudah melihat bagaimana jatuh dan bangunnya negara pada tempoh yang panjang ini,” katanya.

Mohd Rosli yang bakal bertanding di pusat pentadbiran negara ini berkata, beliau mahu menjadikan Putrajaya sebagai tempat yang berprestij bukan sahaja dalam negara tetapi juga di mata dunia.

“Kita lihat ia mesti diketengahkan sebagai suatu pusat yang dipandang tinggi bukan sahaja di peringkat wilayah tetapi juga peringkat antarabangsa. 

“Kita mahu menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti yang boleh menarik mereka di peringkat antarabangsa seperti konvensyen, persidangan mesyuarat ketua kerajaan, mesyuarat menteri-menteri di peringkat ASEAN dan antarabangsa untuk bersama di Putrajaya supaya kita dapat tonjolkan bahawa Putrajaya adalah satu tempat yang menarik,” katanya.

Beliau berkata, Putrajaya boleh menjadi pusat tarikan pelancongan di mana ia boleh memfokuskan budaya, makanan tempatan, aktiviti pelbagai kaum di negara ini.

“Kita mahu Putrajaya menjadi satu pusat yang direstui dan dihormati di seluruh dunia. Pilih saya demi masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button