Berita Utama

N. Sembilan catat 1,590 kes jenayah komersial babit kerugian RM23.9 juta sejak Januari

MB nasihat penduduk sentiasa berwaspada dengan taktik scammer

SEREMBAN, 29 Muharram 1443H, Selasa – Sebanyak 1,590 kes jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan sejak Januari hingga Ogos lepas dengan membabitkan kerugian berjumlah RM23.9 juta, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah itu, kes penipuan merekodkan angka tertinggi dengan 1,496 kes membabitkan kerugian berjumlah RM16.2 juta manakala kes kecil berkaitan pecah amanah, jenayah siber, wang palsu serta kes-kes berkaitan jenayah komersial merekodkan 94 kes membabitkan kerugian RM7.7 juta.

“Bagi 2019, jumlah kerugian membabitkan jenayah itu (komersial) mencatatkan RM58 juta manakala tahun lepas, kerugian keseluruhan adalah sebanyak RM96 juta dengan kes penipuan dan pecah amanah menyumbang angka tertinggi.

“Justeru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berusaha menangani jenayah berkenaan termasuk menyebarkan kesedaran melalui media sosial dan kempen kesedaran supaya rakyat negeri ini tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang ingin tahu kadar indeks jenayah komersial Negeri Sembilan mengikut jenis kategori dan langkah pencegahan yang dilakukan PDRM bagi menurunkan jenayah itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, kes penipuan yang masyhur di Negeri Sembilan sepanjang 2019 dan 2020 adalah penipuan tidak wujud iaitu sebanyak 888 kes, belian dalam talian (861), macau scam (479) dan love scam (236).

Sehubungan itu, Aminuddin menasihatkan penduduk negeri ini untuk sentiasa berwaspada dengan taktik scammer atau penipu selain memastikan kesahihan maklumat dengan pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan melibatkan transaksi secara dalam talian. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button