Berita Utama

Perkasa akses kesihatan mental golongan muda

Masih ada ibu bapa belum faham hakikat masalah mental

BANGI, 29 Muharram 1443H, Selasa – Kerajaan digesa memperluas dan memperkasakan akses kesihatan mental yang dilihat dalam keadaan membimbangkan.

Mentor Kluster Sosial Kongres Nasional 2021, Nur Farihah Meor Mazli berkata, antara kesan daripada masalah kesihatan mental yang tidak terkawal adalah kecenderungan untuk mencederakan diri sendiri sehingga ke tahap membunuh.

“Oleh itu saya sangat bersetuju dengan hujahan para perwakilan yang mengutamakan penyelesaian kepada faktor dan punca yang mendorong individu berfikir sedemikian,” katanya dalam kongres yang disiarkan secara maya.

Terdahulu, setiap perwakilan kluster sosial Kongres Nasional 2021 menyatakan kerisauan terhadap pelbagai masalah kesihatan mental yang berlaku pada masa kini terutamanya terhadap golongan muda di peringkat sekolah mahupun universiti.

Nur Hidayah Mohd Fauzi berkata, tidak dinafikan masih terdapat golongan ibu bapa yang belum memahami hakikat masalah mental ini.

“Sebut sahaja mengenai masalah kesihatan mental, terus dianggap sebagai gila. Sedangkan kesihatan mental ini luas.

“Contohnya, Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) adalah masalah mental yang kritikal jika tidak mendapatkan bimbingan daripada pihak profesional, ianya akan memberikan kesan buruk yang berpanjangan kepada individu tersebut,” katanya.

Mengulas isu sama, Mirza Shauqi Mohd Sa’odi menyarankan pihak sekolah mengadakan hari khas untuk kempen kesedaran kesihatan mental.

“Jika di sekolah kita boleh mengadakan satu hari khas untuk berkokurikulum, mengapa tidak untuk adakan kempen kesedaran kesihatan mental. Libatkan bersama pihak profesional untuk jelaskan secara santai mengenai kesihatan mental,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button