Berita Utama

Undi 18: Persiap anak muda dari jadi mangsa kerakusan dunia politik

Rakyat culas, perlunya undang-undang khas wajib mengundi

BANGI, 29 Muharram 1443H, Selasa – Persidangan Meja Bulat Kongres Nasional 2021 – yang melibatkan 200 pemikir muda bersama enam orang pakar – telah berbahas pelbagai isu dan dasar negara daripada pelbagai kluster.

Antara isu yang dibahaskan termasuk pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18).

Mengulas perkara itu, perwakilan kluster politik dikenali sebagai Zulilham berkata, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai data yang konkrit terhadap sikap, minat dan tahap kesedaran anak muda akan kepentingan mengambil posisi dalam politik serta menentukan hala tuju negara.

Justeru, beliau bimbang wujud segelintir pihak yang berkepentingan menggunakan tenaga golongan berkenaan atas kepentingan parti masing-masing.

Sementara itu, Husna Rosli yang juga salah seorang perwakilan berkata: “Kita tidak boleh mengelak akan perlaksanaan Undi 18 kerana ianya telah dipersetujui oleh pelbagai pihak”.

Yang paling penting ketika ini adalah pemantapan kesediaan individu tersebut, katanya.

“Perkasakanlah Modul Pendidikan Sejarah, Sivik Kewarganegaraan dan Moral agar para pelajar sedar akan kepentingan peranan mereka dalam mencorak masa hadapan negara,” katanya.

Mentor kluster politik, Shuib Noruddin yang turut bersama-sama mengupas isu berkenaan berkata, menurut data, rakyat Malaysia masih culas untuk turun mengundi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan perlunya satu undang-undang khas yang mewajibkan semua rakyat untuk mengundi.

“Di samping itu, peranan agensi kerajaan seperti kementerian belia perlu bertindak awal dalam mempersiapkan anak muda daripada menjadi mangsa kerakusan dunia politik.

“Tambahan lagi, ruang pekerjaan kepada anak muda yang bakal melibatkan diri dalam bidang politik harus disediakan dengan penuh berstruktur,” katanya.

Di akhir ucapan, Shuib berpesan bahawa anak muda adalah pewaris negara, oleh itu semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan corak pemikiran mereka terus terpandu bermula daripada insititusi keluarga, pendidikan sehinggalah ke pihak kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button