Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

15 PPV di Perak dibuka secara jumpa terus

PPV Stadium Indera Mulia dan Dewan Bandaran Kinta hanya terima individu berusia 40 tahun ke atas sahaja

IPOH, 1 Safar 1443H, Rabu – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Perak diperhebatkan lagi dengan pembukaan sebanyak 15 pusat pemberian vaksin (PPV) untuk orang ramai khususnya penduduk setempat mendapatkan suntikan vaksin secara jumpa terus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata PPV yang terlibat adalah Stadium Indera Mulia di sini, Dewan Bandaran Kinta di Batu Gajah, Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di Slim River, Dewan Millenium Lubok Merbau di Kuala Kangsar dan Dewan Majlis Perbandaran di Sungai Siput.

“Selain itu, Dewan Mohamed Jamrah, Sungai Sumun di Bagan Datuk, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Taiping, Dewan Permai di Selama, Dewan Bandaran Teluk Intan dan Dewan Bandaran Pengkalan Hulu,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata PPV lain pula ialah Dewan Merdeka Lenggong, Dewan Serbaguna Gerik, Dewan Dato’ Zainal Abidin Zain di Bagan Serai, Dewan Kerian Permai di Parit Buntar dan Dewan Perumahan Penjawat Awam Amanjaya, Lumut Kiri di Seri Manjung.

Katanya, penduduk yang berusia 18 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di kesemua PPV yang disenaraikan kecuali Stadium Indera Mulia di sini dan Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah yang hanya menerima individu berusia 40 tahun dan ke atas secara jumpa terus.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat PPV yang hanya menerima antara 200 hingga 300 orang sehari untuk diberikan vaksin menerusi kaedah itu.

Mengikut statistik perkembangan PICK, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, seramai 1.58 juta jumlah pendaftaran diterima di Perak iaitu 84.9 peratus daripada jumlah populasi dan 1.3 juta orang telah diberikan vaksinasi dos pertama setakat Ahad lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button