Berita Utama

Benarkah kerajaan akan luluskan UEC kerana CSA?

Iktiraf UEC pengkhianatan terhadap anak cucu, sistem pendidikan dan keharmonian negara

BANGI, 1 Safar 1443H, Rabu – Laporan yang mengatakan kerajaan bakal mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) demi mendapat sokongan undi percaya daripada pembangkang supaya mampu kekal berkuasa melalui persetujuan ‘Confidence & Supply Agreement (CSA)’ adalah amat mengejutkan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, meskipun begitu, jika difikirkan semula, ianya bukanlah suatu yang pelik jika ianya benar sekalipun.

Ini kerana, agenda mengiktiraf UEC yang dikelola oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu bukan suatu yang asing buat UMNO.

Jelasnya, agenda itu sememangnya telah diletakkan sebagai antara janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu jika berjaya berkuasa menjadi kerajaan. 

“Tetapi tidak sangkalah pula mereka akan menepati janji ini sungguh kerana janji-janji lain untuk agama dan bangsa banyak lagi yang tidak terlaksana pun. 

“Lagi pun, pembangkang pun pasti tahu yang mereka tidak akan berjaya merampas tampuk pimpinan dengan permainan ‘nombor’ ini. 

“Mereka pun sudah cuba banyak kali sebelum ini namun gagal. Malah, sekiranya mereka berjaya merampas sekalipun, mereka tidak akan memerintah lama kerana pilihan raya sepatutnya pada tahun hadapan dan pastinya kerajaan itu juga tidak stabil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, sudah tentu keadaan itu dilihat tidak menguntungkan pembangkang, malah mereka terpaksa menanggung beban yang sangat berat memulihkan ekonomi pasca-COVID-19 nanti. 

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, menekan kerajaan untuk merealisasikan agenda-agenda mereka adalah sesuatu yang licik dan ‘bijak’ bagi politik mereka. 

“Mempergunakan kebuntuan politikus Melayu untuk menjadi kambing hitam demi agenda mereka bukanlah suatu yang baharu. Janganlah terjerat dengan taktik ‘Melayu Screw Melayu’,” katanya.

Pun begitu, beliau mengharapkan berharap Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan segera mengeluarkan jaminan yang UEC tidak akan diiktiraf selagi berkuasa dan sanggup hilang kuasa jika tidak mengiktirafnya.

“Jangan hanya kerana mahu kekal kuasa politik, prinsip digadai begitu sahaja. Ini bukan setakat perihal prinsip, tetapi mengiktiraf UEC adalah satu pengkhianatan terhadap anak cucu, nenek moyang kita, sistem pendidikan dan keharmonian negara,” katanya.

Terdahulu, dalam portal berita samudera.my, dilaporkan bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah. 

Demikian menurut maklumat yang disampaikan oleh satu sumber dalaman kepada pihak samudera.my.

Tindakan ini menurut sumber ialah berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button