Berita Utama

40 peratus penuntut UMK boleh kembali ke kampus

Utamakan penuntut OKU, pelajar antarabangsa yang duduki peperiksaan

BACHOK 1 Safar 1443H, Rabu – Hanya 40 peratus penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dibenarkan kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian secara bersemuka, manakala selebihnya meneruskan pembelajaran secara hibrid.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK, Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, jumlah penuntut yang akan belajar secara bersemuka seramai 2,725 orang untuk tiga kampus iaitu Kampus Kota (1,041 pelajar), Kampus Bachok (747) dan Kampus Jeli 937.

Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan kehadiran 60 peratus iaitu 6,078 orang daripada 10,130 penuntut, namun pihak universiti perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kalau kes COVID-19 rendah, kita boleh terima lebih 6,000 penuntut iaitu 60 peratus, namun pihak universiti hanya membenarkan 40 peratus saja hadir ke kampus kerana tertakluk kepada kapasiti asrama.

“Keutamaan kita adalah enam kategori penuntut iaitu mereka yang lengkap dua dos vaksinasi dan kebenaran masuk ditentukan pihak fakulti.

“Selain itu, kita hanya benarkan penuntut yang memerlukan latihan praktikal, makmal, klinikal, studio, bengkel dan peralatan khas serta yang tiada akses Internet. Mereka yang sedia ada di kampus juga dibenar meneruskan pengajian bersemuka,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

UMK juga jelas beliau memberi keutamaan kepada penuntut dalam kategori orang kurang upaya (OKU), pelajar antarabangsa dan yang akan menduduki peperiksaan seperti badan profesional.

Katanya, kehadiran penuntut dijangka pada bulan depan, namun tertakluk kepada pekeliling dan arahan KPT, Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta universiti.

“Pihak universiti juga akan melaksanakan pembelajaran secara hibrid dan mempunyai pelan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Dalam Talian (PdP-DT) Fasa Keempat untuk semua kursus yang tidak memerlukan bersemuka,” katanya.

Pelajar baharu sesi akademik Oktober 2021/2022, dijangka membuat pendaftaran secara dalam talian pada 2 Oktober depan, manakala kelas akan bermula pada 10 Oktober.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button