Berita Utama

Bajet 2022 perlu kembalikan GST

Kutip semula bayaran cukai tertangguh daripada PBT, kerajaan negeri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 1 Safar 1443H, Rabu – Kerajaan baharu bakal menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk rakyat, yang pastinya menantikan ‘kejutan dan manfaat’ dalam intipati pembentangan Bajet 2022 dijangka pada Oktober depan.

Biarpun masih mengekalkan Menteri Kewangan yang sama daripada pemerintahan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini, Bajet 2022 masih mempunyai ‘daya tarikan’ memandangkan Malaysia kini ke arah pemulihan pandemik COVID-19.

Bukan hanya dari sudut bantuan fizikal, rakyat juga pastinya menantikan rancangan kerajaan dalam memulihkan dan merancakkan kembali sektor ekonomi negara seiring Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selaras dengan itu, penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob mencadangkan kerajaan menumpukan beberapa aspek utama dalam belanjawan, bagi memacu semula pemulihan ekonomi dan pendapatan negara.

Beliau menggesa kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi fokus kepada sistem percukaian.

“Saya mencadangkan supaya kerajaan menumpukan dari segi pendapatan cukai kerana itu adalah pendapatan kerajaan.

“Ini kerana, tanpa cukai kerajaan tak boleh buat apa, maka penting untuk sistem percukaian diberi perhatian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Serentak itu, Dr Abu Sofian mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“GST adalah antara satu kutipan cukai semasa. Cuma, kita minta supaya jika ia dilaksanakan kembali, kuat kuasakan ia pada kadar rendah seperti 3 peratus sahaja.

“Malah, kita minta untuk penetapan cukai itu hanya meliputi barangan atau perkhidmatan tertentu sahaja,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyarankan kerajaan meningkatkan usaha mengutip kembali bayaran cukai tertangguh daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kerajaan negeri.

“Bermakna, kerajaan perlu berusaha mengutip (cukai) supaya tidak menambahkan lagi kewangan negeri.

“Walaupun Kerajaan Pusat akan memberikan bajet tahun ini, tetapi kerajaan negeri juga perlu memainkan peranan,” katanya.

Difahamkan, Bajet 2022 dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dan turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik pada tahun hadapan.

Bajet juga akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dibentangkan di Parlimen bulan ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button