COVID-19: BPMP tawar 5 skim bernilai RM5.6 bilion bantu peniaga
Bagi memudah dan sokong perniagaan dalam tempoh sukar

BANGI 1 Safar 1443H, Rabu – Sebanyak lima skim bernilai RM5.6 bilion ditawarkan bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) bagi memudah dan menyokong perniagaan dalam tempoh mencabar akibat COVID-19.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arshad Mohamed Ismail berkata, skim pembiayaan yang ditawarkan itu adalah tambahan kepada kemudahan perbankan korporat yang ditawarkannya.
“Skim ini ditawarkan pada kadar pembiayaan pilihan yang menyasarkan sektor strategik utama iaitu digitalisasi, kelestarian, maritim & logistik, pelancongan serta pengangkutan awam.
“BPMB akan terus memainkan peranan penting untuk mendukung pemulihan ekonomi Malaysia dengan menyelaraskan strategi bank dengan inisiatif kerajaan terhadap kelestarian, digitalisasi dan inklusiviti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, BPMB menyatakan sokongan penuh bagi membangunkan kesejahteraan sosio ekonomi rakyat berdasarkan mandat yang diberikan kerajaan kepada Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) untuk menyokong pemulihan negara.
Arshad berkata, komitmen bank berkenaan juga selari dengan semangat #KeluargaMalaysia seiring dengan strategi pemulihan ekonomi negara ini.
“Sebagai antara DFI tempatan, institusi kewangan itu komited melakukan terbaik untuk menyokong pemulihan ekonomi negara.
“Kami memahami bahawa impak COVID-19 dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Pandemik global yang berpanjangan mempengaruhi kita semua iaitu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengakibatkan pengangguran atau menjejaskan perniagaan,” katanya.