Berita Utama

Fasa 2: Warga Lembah Klang ‘gembira’, Johor pula bila?

Minta PM pertimbang rentas negeri bagi individu lengkap vaksin

BANGI, 1 Safar 1443H, Rabu – Warga Lembah Klang kini mula menarik nafas lega susulan pengumuman peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi ruangan komen di Facebook Ismail Sabri, rata-rata penduduk di kawasan Lembah Klang meluahkan rasa syukur dan berterima kasih dengan keputusan itu.

Kebanyakan mereka menyifatkan kelonggaran berkenaan membantu memudahkan dan melancarkan urusan, khususnya bagi individu yang berniaga.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Dapat rentas daerah pun cukup syukur untuk saya cari rezeki lebih luas lagi,” kata Muhd Afif.

“Terima kasih Dato, sekurang-kurangnya perjalanan antara daerah atau ke Kuala Lumpur lebih mudah tanpa sebarang ‘roadblock’,” kata Mohd Amar.

“Alhamdulillah senang nak kerja tak perlu hadap kesesakan lalu lintas,” tulis Eppy Azrai Hamdan.

Meskipun begitu, keputusan berkenaan dilihat tidak menggembirakan bagi rakyat Johor yang masih tertakluk di bawah Fasa 1.

“Selangor yang kes tinggi boleh rentas, kami rakyat Johor ni bila boleh rentas. Nak bagi, bagi semua,” kata Omek Jek.

“Johor apa cerita? Kami dah 80 peratus imuniti vaksin. Kalau KL yang padat boleh fasa 2, Melaka fasa 2, Johor dibiarkan macam itu, adil ke?,” kata Fariz Mikhael.

“Johor macam mana YAB PM? Keadaan Johor tak seteruk Lembah Klang sebelum ini, tetapi cara menangani masalah di Lembah Klang seolah-olah macam negeri lain diletak tepi,” tulis Isma ‘Adlee.

Pada masa sama, sebahagian netizen juga meminta Perdana Menteri mempertimbangkan membuka sempadan negeri bagi tujuan pulang ke kampung.

“Paklong nak rentas negeri jumpa ibu bapa! Benarkanlah yang dah fully vaccinated merentas,” kata Amirul Aiman.

“Assalamualaikum Datuk Seri Ismail Sabri, saya cadangkan bagilah rakyat yang Fasa 2 dah cukup dua dos rentas negeri, kesian kami mak ayah dah lama tak tengok,” kata Anna Hasan.

Terdahulu, kerajaan bersetuju memberi kebanaran kepada kawasan Lembah Klang untuk beralih ke Fasa 2.

Kebenaran itu sekali gus meliputi kelonggaran pergerakan antara negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tanpa ada sekatan jalan raya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button