Hakim beri amaran jangan komen perbicaraan kes Zahid Hamidi di media sosial
Boleh bawa kepada subjudis

BANGI 1 Safar 1443H, Rabu – Hakim Mahkamah Tinggi, hari ini, memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berlangsung.
Amaran itu dikeluarkan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.
“Mahkamah perlu memberi amaran mengenai komen seperti itu yang boleh membawa kepada subjudis. Komen seperti itu tidak boleh dibuat ketika perbicaraan sedang berlangsung,” katanya.
Terdahulu, Raja Rozela berkata, pihak pendakwaan percaya Nurulhidayah membuat hantaran berhubung isu imuniti semalam di Instagramnya, nurul.zahid.
“Kami percaya penulisnya ialah anak perempuan Ahmad Zahid. Komen ini tidak berasas dan prejudis. Tidak adil bagi pihak pendakwaan kerana kes ini masih berjalan.
“Saya tidak diarahkan supaya memulakan prosiding menghina, tetapi memadai memaklumkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen berhubung prosiding ini,” katanya dan menambah mahkamah perlu melarang penulis, Nurulhidayah serta orang ramai daripada membuat sebarang komen mengenai kes itu.
Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid kemudiannya bangun dan memberitahu mahkamah bahawa beliau akan meminta Nurulhidayah menarik balik komen berkenaan.
“Kami memohon maaf kepada mahkamah dan akan meminta penulis memadam hantaran itu jika mahkamah mahu ia dikeluarkan,” katanya.
Semakan di Instagram Nurulhidayah mendapati beliau sudah memadamkan hantaran berkenaan dan memuat naik catatan baharu yang meminta maaf kepada mahkamah mengenai perkara berkenaan.
“Saya tidak sepatutnya berkongsi atau komen apa yang berlaku ketika prosiding. Ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan kesnya kini di peringkat penghujahan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan. – Bernama