Berita Utama

Hanya 71 pengamal media dibenar masuk Dewan Rakyat

Yang lain boleh buat liputan guna platform sidang media secara hibrid

PUTRAJAYA 1 Safar 1443H, Rabu – Jumlah petugas dan pengamal media yang membuat liputan di bangunan Parlimen akan dihadkan pada sesi Persidangan Keempat Parlimen dalam usaha mengurangkan risiko COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selari dengan itu jumlah agensi berita dan pengamal media telah ditetapkan seramai 71 orang sahaja.

Namun pengamal media masih boleh membuat liputan menggunakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan Ahli Dewan Rakyat.

“Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat yang dikenakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dipatuhi oleh semua pihak termasuk Parlimen.

“Ini termasuk menetapkan syarat individu dengan dos lengkap vaksin COVID-19 dan suhu badan tidak melebihi 37.5 celsius sahaja dibenarkan hadir; mendaftarkan kehadiran menggunakan imbasan QR melalui aplikasi MySejahtera di pintu masuk dan semua tempat yang disediakan.

“Petugas juga perlu menjalani ujian saringan COVID-19 secara Polymerase Chain Reaction Test (PCR) dalam masa tiga hari sebelum hadir serta hendaklah menunjukkan keputusan ujian tersebut.

“Pemakaian pelitup muka berganda; digalakkan memakai pelindung muka (face shield); sentiasa membersihkan tangan dengan menggunakan hand sanitizer; serta mematuhi penjarakan fizikal sepanjang berada di Kompleks Parlimen.

“Jadi langkah dan pendekatan yang amat teliti dalam pengendalian Mesyuarat Penggal Keempat perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pengamal media boleh menghubungi Setiausaha Akhbar Yang Dipertua Dewan Rakyat atau berurusan dengan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) Parlimen.

“Kita berharap liputan mesyuarat ini akan dilaksanakan dengan teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 akan diadakan pada 13 September hingga 12 Oktober depan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button