Berita Utama

Iktiraf UEC sama seperti khianati negara!

ISMA desak kerajaan tak tunduk tuntutan parti, NGO pendidikan Cina

BANGI, 1 Safar 1443H, Rabu – Mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang sukatan pelajarannya berkiblatkan Taiwan –  sama seperti mengkhianati negara, kerana pasti menggugat keharmonian kaum dan sistem pendidikan.

Atas dasar itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Kabinet tidak tunduk pada tuntutan parti politik, rakan atau lawan mahupun mana-mana pertubuhan seperti Dong Zong atau Hua Zong yang mahu mengiktiraf UEC. 

Presiden ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, kerajaan perlu sedar kesan buruk mengiktiraf sijil berkenaan akan meluaskan lagi jurang perpaduan kaum di Malaysia.

“Bagi memastikan perpaduan kaum di Malaysia bertambah kukuh, Malaysia perlu kembali kepada Dasar Pendidikan Negara yang memfokuskan pada penggunaan bahasa Melayu, kurikulum dan sistem peperiksaan yang selaras.

“Malah, sistem SPM dan STPM sedia ada telah diiktiraf antara yang terbaik dunia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan portal berita Samudera.my, bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah. 

Tindakan ini menurut sumber dalaman portal berkenaan, berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Kekal konsisten membantah sebarang langkah ke arah pengiktirafan sijil itu, Ustaz Muhammad Fauzi menegaskan bahawa silibus yang dibawa UEC jelas tidak bersifat nasional kerana diambil dari luar negara.

Malah, silibus yang terkandung di dalam UEC juga tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, katanya.

UEC adalah silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan.

Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button