Jihad Islam beri amaran keras pada rejim negara haram Israel
Pantau keadaan semasa, pastikan tahanan Palestin lain selamat

BAITULMAQDIS 1 Safar 1443H, Rabu – Gerakan Jihad Islam memberi amaran keras kepada rejim negara haram Israel supaya tidak mengenakan sebarang tindakan kepada tahanan yang berjaya lolos daripada Penjara Gilboa.
Menerusi satu kenyataan, Jihad Islam juga berjanji akan memantau keadaan di penjara berkenaan dan mengingatkan supaya tidak membalas dendam kepada tahanan lain.
“Israel perlu bertanggungjawab atas apa sahaja tindakan yang dilakukan kepada tahanan.
“Kami akan mempertahankan tahanan Palestin,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, lima daripada tahanan adalah ahli kumpulan Jihad Islam – yang berjaya melarikan diri dari Penjara Gilbao menerusi terowong yang dikorek di bawah sinki di sel.
Mereka dipercayai menggali terowong untuk keluar dari penjara yang dibina pada tahun 2004 untuk tahanan Palestin ‘paling berbahaya’.
Setakat ini, polis Israel masih gagal mengesan tahanan terbabit.
Dilaporkan, pihak berkuasa Israel telah memindahkan tahanan Israel ke penjara lain dan menghalang kesemua banduan berkenaan dengan akses televisyen. – Agensi