Berita Utama

Lelaki hayun parang atas kereta peronda positif dadah

Suspek berusia 61 tahun miliki 16 rekod jenayah, dadah

IPOH 1 Safar 1443H, Rabu – Warga emas yang bertindak agresif atas kereta peronda polis sambil menghayunkan parang serta sabit panjang dalam kejadian di hadapan Balai Polis Gopeng, semalam disahkan positif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, semakan juga mendapati suspek lelaki berusia 61 tahun itu mempunyai 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Lelaki tempatan itu yang menunggang motosikal sambil membawa sebilah parang dan sabit panjang memasuki kawasan Balai Polis Gopeng kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Suspek kemudian bertindak melibaskan parang dan sabit yang dibawanya di hadapan pintu masuk balai berkenaan sebelum pegawai yang melihat kejadian itu cuba menenangkan suspek serta mendapatkan bantuan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Suspek kemudian keluar dari kawasan balai menuju ke Jalan Ipoh-Kuala Lumpur namun berjaya disekat oleh pihak polis di hadapan pagar balai dengan menempatkan sebuah kereta peronda di tengah jalan sebagai penghalang kepada orang awam melalui jalan tersebut.

“Namun suspek meluru ke arah kereta peronda itu sebelum memanjat dan berdiri di atasnya sambil melibatkan parang serta sabit bagi mengelakkan dirinya didekati pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, pihak bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 8.30 dan bertindak menyemburkan air ke arah mangsa sebelum dia berjaya diberkas.

Katanya suspek yang terjatuh sebelum proses tangkapan dilakukan dan berlaku sedikit kecederaan dalam pergelutan berkenaan.

 “Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan kita juga merampas sebilah parang, sabit, sebuah motosikal serta serangkai kunci dalam kejadian tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut bagi mengelakkan kekeliruan serta kegusaran dalam masyarakat.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan; Seksyen 90 Akta Polis 1967; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya,” ujar Mior Faridalathrash.

Terdahulu tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan sebilah sabit mengamuk di hadapan balai polis di Gopeng, Perak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button