Dunia

Konflik Russia-Ukraine pada tahap kritikal

Ukraine kini menawan semula lebih banyak penempatan di wilayah Kharkiv

KHARKIV (Ukraine), 21 Safar 1444H, Sabtu – Tentera Ukraine melancarkan serangan balas terhadap tentera Russia dan menawan semula lebih banyak penempatan di wilayah Kharkiv, lapor Agensi Anadolu.

Tentera Russia mara berhampiran ibu negara Ukraine, Kyiv pada 1 Mac, menawan bandar Kherson, serta bandar-bandar lain termasuk Irpin dan Bucha.

Askar Russia turut menguasai Chernobyl serta menyerang Chernihiv dan mengepung bandar Kharkiv, Sumy dan Mariupol.

Menjelang 15 Jun, tentera Ukraine menawan semula kawasan sekitar Kyiv dan Sumy serta kawasan berhampiran.

Russia menempatkan kebanyakan tenteranya di wilayah Kharkiv dan Kherson.

Mariupol, di bahagian Laut Azov Ukraine, turut berada di bawah kawalan Russia.

Pada 29 Ogos, Ukraine melancarkan serangan balas untuk membebaskan Kherson dan menguasai semula perkampungan di rantau itu.

Menjelang September, tentera Ukraine melancarkan serangan balas untuk menawan semula Kharkiv, bandar kedua terbesar di negara itu.

Selain bandar-bandar utama seperti Izium, Balakliya dan Kupyansk, pentadbiran Kyiv berjaya menawan semula lebih 300 penempatan.

Presiden Volodymyr Zelenskyy berkata tenteranya menawan semula 6,000 kilometer persegi wilayahnya bulan ini dan menggesa Barat mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Moscow serta mempercepat penghantaran sistem senjata.

Sementara itu, Russia kini mengawal wilayah Donbas, pantai Laut Azov dan Kherson. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button