Seiring usaha vaksinasi, ibu bapa tak perlu risau hantar anak ke sekolah
Persekitaran sekolah dan kelakuan terhadap SOP main peranan penting dalam pembukaan sekolah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 1 Safar 1443H, Rabu – Pelaksanaan sesi persekolahan secara bersemuka yang akan bermula pada 3 Oktober ini tidak perlu terlalu dikhuatiri oleh para ibu bapa, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Beliau menjelaskan, di dalam hal ini, terdapat tiga kumpulan penting yang perlu diambil kira.
Pertamanya adalah warga sekolah yang mana melibatkan para guru serta kakitangan, kedua ialah para pelajar dan ketiga ialah komuniti umum, katanya.
Jika melihat kepada data, sebanyak 85.26 peratus guru di negara ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin dan 96.7 peratus menerima satu dos vaksin, manakala 73.71 peratus kakitangan perkhidmatan sokongan lengkap menerima dua dos vaksin dan 89.35 peratus lagi menerima satu dos suntikan vaksin.
“Kemudian kita tengok golongan pelajar, untuk pembukaan sekolah kita perlu berikan mereka suntikan vaksin sekurang-kurangnya satu dos.
“Manakala dalam kalangan komuniti, kebanyakan negeri telah mencapai 60 peratus untuk dos kedua sementara dos pertama 80 peratus.
“Ini angka yang sangat baik untuk kita memulakan langkah pembukaan pelbagai sektor termasuk persekolahan,” katanya dalam program Agenda Pertiwi bertajuk ‘Buka Sekolah: Selamatkah Anak-anak?’ yang disiarkan secara langsung, semalam.
Mengulas lanjut, Dr Zainal berkata, apa yang penting dan perlu difahami semua pihak terutamanya ibu bapa adalah di samping vaksinasi, terdapat dua lagi faktor yang memainkan peranan.
Katanya, faktor itu adalah persekitaran sekolah dan kelakuan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Persekitaran sekolah kena ‘tip-top’. Behaviour warga sekolah dan pelajar juga kena jaga dengan pematuhan SOP. Kalau digabung ketiga-tiga ini, Insya-Allah dapat menjaga daripada penularan kes yang serius,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu takut dan taksub dengan angka jangkitan kes COVID-19 yang dilaporkan setiap hari.
“Kita kena lihat, angka yang dilaporkan ini berlaku di seluruh Malaysia, dan kebanyakannya dalam kategori 3, 4. Kalau kita ambil langkah yang tepat, maka jumlah liputan imunisasi akan menjadi tinggi termasuk untuk pelajar.
“Jadi kita akan lebih selesa dengan keadaan itu, dan ibu bapa tidak perlu risau,” katanya.
Bahkan, Dr Zainal menegaskan, daripada kajian seluruh dunia, golongan kanak-kanak mempunyai kadar jangkitan yang rendah ditambah dengan keupayaan untuk mengatasi jangkitan adalah lebih baik daripada dewasa kecuali buat mereka yang ada risiko seperti penyakit asma atau obesiti.
“Jadi, kumpulan bawah 18 tahun ini agak selamat. Jika ada orang pertikai mengenai risiko mengambil vaksin, sebenarnya adalah lebih baik ambil vaksin, daripada terkena penyakit, ia dapat merendahkan risiko terhadap penyakit.
“Jadi untuk fasa pertama, kita buka dahulu untuk murid yang akan berdepan peperiksaan, dan kemudian boleh buka untuk pelajar tingkatan 1, 2 dan sebagainya,” katanya.