Berita Utama

Ahmad Idham mahu PD jadi setanding Pulau Langkawi

Kenal pasti tiga masalah utama termasuk pemilikan tanah

PORT DICKSON, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Penstrukturan semula Port Dickson perlu dilaksanakan supaya lokasi pelancongan utama itu setanding dengan Pulau Langkawi yang terkenal di seluruh dunia.

Calon Parti Pejuang Parlimen Port Dickson, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, tiga masalah utama yang berlaku di daerah tersebut telah dikenal pasti termasuk pemilikan tanah dan projek pembangunan terbengkalai.

“Kemudahan infrastruktur di Port Dickson juga saya lihat amat menyedihkan. Saya mahu lihat Port Dickson sentiasa menjadi lokasi pilihan penggambaran filem ataupun drama.

“Saya orang seni dan saya akan gunakan kelebihan itu untuk menjayakan impian berkenaan.

“Saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan agensi perfileman di Malaysia serta rakan-rakan dalam industri hiburan dan impian ini tidak mustahil,” katanya.

Terdahulu beliau membuat pecutan akhir dengan mengadakan pertemuan orang ramai di sebuah restoran di Kampung Si Rusa, hari ini.

Beliau yang juga pengarah drama telah mengenal pasti isu yang menjadi kontroversi di pantai peranginan berkenaan.

“Saya sudah berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan.

“Semua isu dan aduan rakyat di Port Dickson ini memang boleh diselesaikan jika ada pemimpin yang betul,” jelasnya.

Dr Ahmad Idham antara lima calon yang merebut kerusi Parlimen tersebut masuk calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Aminuddin Harun, calon Barisan Nasional (BN), Datuk P.Kamalanathan, calon Perikatan Nasional (PN) Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button