Berita Utama

Undi 18: Dedah pendidikan politik seawal tingkatan 4, 5

Lahirkan rasa tanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI 1 Safar 1443H, Rabu – Pelajar di peringkat sekolah iaitu di tingkatan empat dan lima perlu didedahkan dengan pendidikan politik serta mempelajari konsep atau ideologi politik negara.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, perkara itu penting bagi memberi pendedahan kepada mereka seiring melahirkan rasa tanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin.

Katanya lagi, ini memandangkan usia berkenaan dilihat cukup matang bagi memahami perkara yang lebih serius.

“Kajian jelas menunjukkan usia berkenaan dianggap matang dan perlu diberikan pendedahan yang serius dan sekali gus memberi peluang golongan muda memahami ideologi politik.

“Usia 16 dan 17 adalah sangat praktikal untuk mereka mempelajari pendidikan politik selari usia yang matang. Hal ini akan memberikan kesedaran kepada golongan ini mengenai politik negara.

“Kalau dulu kita hanya diajar sejarah mengenai politik namun hari ini pembelajaran itu perlu diberi pembaharuan, apa yang berlaku mengenai politik semasa hari ini kerana permulaan itu akan mendorong golongan ini memahami bentuk politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pendidikan politik sudah lama dipraktis di negara luar kerana pendedahan berkenaan akan mewujudkan perasaan ambil kisah dalam kalangan belia.

“Sekiranya pelajar memahami keadaan sebenar, ia akan mewujudkan perasaan ingin tahu sebelum ada rasa tanggungjawab untuk mengambil bahagian,” katanya lagi.

Prof Muhammad Fuad berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan Undi 18 tahun menjelang akhir tahun ini.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Justeru, penerangan secara jelas perlu dilakukan bagi golongan pelajar memahami keadaan yang sebenar selain silibus pembelajaran perlu diteliti semula.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan pengajian Media UiTM, Prof Datuk Dr Ismail Sualman pula mahu persediaan lebih awal dibuat dengan kaedah mendaftar pelajar tingkatan lima sebagai pengundi sekali gus dilihat dapat mengatasi isu kegagalan orang muda mendaftar.

Tegas beliau, prapendaftaran sebagai pemilih itu dijangka membolehkan lebih 90 peratus belia mendaftar sebagai pengundi baharu dengan SPR sebelum pengesahan pendaftaran dibuat ketika usia mencecah 21 tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button