Berita Utama

Kerusi wakil rakyat lompat parti patut diisytiharkan ‘kosong’

Bila menang pilihan raya bermakna perlu kekal setia hingga bubar Parlimen

BANGI, 2 Safar 1443H, Khamis – Reformasi perundangan bagi mengatasi masalah budaya lompat parti perlu ditangani segera dan bersungguh-sungguh dengan meneliti punca sebenar masalah.

Tambahan pula, situasi sekarang adalah waktu terbaik melaksanakan perubahan dalam sistem pilihan raya dan pentadbiran agar sistem lebih menjamin kestabilan.

Atas dasar itu, hal ini mesti dilaksanakan dengan cepat dan menggunakan cara tepat, kata Pensyarah Undang-undang dan Perlembagaan UTM, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Beliau berkata, undang-undang antilompat parti perlu mengandungi ketetapan – seseorang Ahli Dewan Rakyat dipilih pada pilihan raya yang dicalonkan mewakili sesebuah parti politik – hendaklah mengosongkan kerusinya jika dia keluar daripada parti itu atau mengundi di Parlimen bertentangan kehendak parti itu.

Berdasarkan konsep ini, sebaik sahaja calon berkenaan memenangi pilihan raya, dia dianggap Ahli Dewan Rakyat mewakili parti dan perlu kekal setia sehingga pembubaran Parlimen.

“Jika dia menukar parti atau mengundi bertentangan kehendak partinya di Dewan Rakyat, dia terhenti menjadi wakil rakyat dan kerusinya diisytiharkan kosong.

“Oleh itu, seseorang wakil rakyat bertanding menggunakan simbol gabungan seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), maka dia dianggap terikat dengan gabungan berkenaan,” katanya menulis di Berita Harian.

Dr Fathi menjelaskan, jika undang-undang halang lompat parti dibuat berdasarkan keahlian parti tanpa merujuk penggunaan simbol waktu pilihan raya, maka ia boleh mewujudkan kecelaruan dalam pelaksanaan undang-undang.

Ia juga menimbulkan persoalan dari sudut penyelesaian kepada isu mandat rakyat, katanya.

“Misalnya seorang wakil rakyat ialah ahli MIC dan bertanding menggunakan simbol BN. Andaikan berlaku pergolakan dalam BN dan MIC mengisytiharkan keluar daripada gabungan itu, namun disebabkan dia tidak keluar partinya, iaitu MIC, maka kerusi mereka dalam Dewan Rakyat terus kekal.

“Namun, adakah kesan perundangan itu benar-benar menepati mandat sebenar rakyat yang memangkah simbol BN pada pilihan raya?,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button