Berita Utama

Cabul Perlembagaan jika iktiraf UEC!

Dasar UEC mahu didik pelajar bertuankan negara China

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Safar 1443H, Khamis – Kerajaan akan dianggap mencabul keluhuran Perlembagaan negara sekiranya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) – yang sukatan pelajarannya berkiblatkan Taiwan.

Atas dasar itu, kerajaan tidak boleh mengiktiraf sijil yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan kerana mengikut Perlembagaan, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Raouf Husin berkata, dalam UEC mereka menjadikan Bahasa Cina sebagai penghantar – situasi ini bukan sahaja mencabul Perlembagaan tetapi menggadai masa depan dan mematikan bahasa ibunda kita sendiri.

 “Jadi kenapa perlu kita perlu menerima bahasa lain selain yang tertulis dalam Perlembagaan.

“Dalam Akta Dasar Pendidikan 1967 juga menekankan sekolah perlu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar selain boleh menggunakan bahasa lain seperti Inggeris, Arab dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Tegas Abdul Raouf, sukatan dalam UEC juga dibimbangi boleh mencetuskan perpecahan kaum apabila isu-isu sensitif ditonjolkan termasuk peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Dalam sukatan berkenaan mereka tidak didedahkan kepada sejarah Melayu sebaliknya lebih menonjolkan isu-isu perkauman termasuklah isu 13 Mei 1969 yang menyatakan dalam pergaduhan berkenaan ramai penduduk Cina yang terkorban.

“Situasi itu akan meninggalkan kesan kepada pelajar terutama golongan yang belum matang dan sekali gus akan memupuk rasa tidak selesa kepada masyarakat Melayu itu sendiri,” tegasnya.

Pada masa sama Abdul Raouf berpandangan, UEC ini mahu mendidik pelajar bertuankan negara China.

“Ini tidak adil, sekiranya UEC diluluskan tidak mustahil bangsa-bangsa lain di negara kita turut menuntut hak mereka.

“Seharusnya sebagai pemilik tanah Melayu kita terus memperjuangkan hak kita dan bukannya mengikut telunjuk pihak lain yang hanya lebih menjurus kepentingan peribadi,” katanya.

Terdahulu laporan portal berita Samudera.my, mendedahkan bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber dalaman portal berkenaan, berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button