Berita Utama

CEO, 3 pegawai kanan GLC direman bantu siasatan seleweng dana RM2.2 juta

Semua suspek disyaki salah guna kuasa dan kedudukan

ALOR SETAR, 2 Safar 1443H, Khamis – Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga pegawai kanan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM2.2 juta, dari 2016 sehingga 2019.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim membenarkan perintah reman terhadap semua suspek berusia 49 hingga 58 tahun itu sehingga 12 September ini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, menurut sumber SPRM, semua suspek ditahan di pejabat SPRM Kedah pada 3.45 petang hingga 4.15 petang Rabu, selepas hadir memberi keterangan.

Katanya, siasatan awal mendapati CEO dan tiga lagi pegawai kanan syarikat itu disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka dengan menyalurkan dana GLC tersebut ke dua syarikat yang dipercayai semua suspek mempunyai kepentingan dalam syarikat berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan permohonan reman berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button