Berita Utama

Gesa PM beri jaminan tak iktiraf UEC

Adakah Ismail Sabri kekal pendirian dulu, atau ambil jalan selamat demi undi percaya?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Safar 1443H, Khamis – Rakyat amat mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan pendirian tegas menentang pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), seperti mana yang pernah dinyatakan tahun-tahun sebelum ini.

Biro Pendidikan Politik BERJASA, Azrul Azham menyingkap kembali senario yang pernah berlaku pada tahun 2017 di mana Tan Sri Annuar Musa berusaha sedaya upaya membawa usul perseorangan dalam isu pengiktirafan UEC ke Parlimen.

Annuar ketika itu menyatakan tiada sebab untuk tidak mengiktiraf UEC kerana padanya, ia tidak mencabuli Perlembagaan.

Membidas kelantangan Annuar ketika itu, Ismail Sabri yang memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tegas menyatakan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak mengiktiraf UEC kerana sijil itu tidak selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Berharap ketegasan itu masih kekal, Azrul berkata, pada saat ini, Ismail Sabri yang memegang jawatan Perdana Menteri berdepan cabaran pertama dalam menyatakan pendirian mengenai UEC.

Ini kerana, timbul dakwaan kerajaan bakal mengiktiraf UEC bagi mendapatkan sokongan undi percaya daripada pihak pembangkang. 

“Kredibiliti beliau akan mudah dinilai oleh seluruh masyarakat tentang isu pengiktirafan UEC. 

“Adakah beliau kekal dengan pendirian beliau satu ketika dahulu? Atau mengambil jalan selamat kerana memerlukan undi percaya saat Parlimen dibuka?,” soal Azrul dalam kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata, jika diberikan peluang sedikit pun untuk sijil itu diiktiraf, maka jatuhlah nilai bahasa kebangsaan seiring dengan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 152 yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. 

Tambahan pula pengiktirafan ini merupakan subversif kepada sistem pendidikan sedia ada, katanya.

“Hal ini bermakna, UEC bakal dijadikan sistem alternatif lain dan merosakkan sistem pendidikan negara. 

“Mana tidaknya apabila UEC yang diterajui oleh NGO dan mahu bekerjasama dengan kerajaan, sungguh tinggi darjat NGO ini,” katanya.

Sehubungan itu, Azrul berkata, anak muda memerhatikan gelagat pemimpin jika hanya mementingkan kerusi daripada maruah. 

“Anak muda tidak mahu ulangi trending #kerajaangagal yang sentiasa memaparkan sisi buruk pemimpin Melayu Islam. 

“Kita mahu lihat kepimpinan yang berwibawa dalam menerajui kerajaan kali ini. Jangan lupa siapa yang beria-ia menentang tulisan Jawi,” katanya.

Terdahulu lportal berita Samudera.my, mendedahkan bahawa UEC yang selama ini menjadi subjek kontroversi bakal diluluskan kerajaan.

Kelulusan yang diberikan tersebut adalah kelulusan bersyarat seperti wajib lulus Bahasa Melayu dan subjek Sejarah.

Tindakan ini menurut sumber dalaman portal berkenaan, berikutan tuntutan pihak tertentu dari pembangkang yang mengenakan beberapa syarat ketat untuk memberikan sokongan CSA kepada pihak kerajaan pada 14 September 2021.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button