Berita Utama

Guan Eng disiasat langgar perintah kuarantin kendiri

Polis ambil keterangan Setiausaha DUN, KKM

GEORGETOWN, 2 Safar 1443H, Khamis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa melanggar perintah kuarantin kendiri dengan menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan keluar ke tempat awam untuk mengedarkan bakul makanan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan dibuka selepas polis menerima beberapa laporan yang dibuat terhadap Guan Eng.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis akan menyoal siasat Guan Eng selepas proses kuarantin kendirinya tamat pada 10 September ini.

“Setakat ini, pihak polis menerima tiga laporan mengenai isu tersebut, siasatan telah bermula dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya seperti dilapor Sinar Online, hari ini.

Katanya, selain mengambil keterangan daripada pihak yang membuat laporan, polis juga merekodkan keterangan Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN), Mohd Roshidi Azmi dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedua-dua dakwaan yang dibuat terhadapnya adalah tidak benar.

Katanya, beliau hanya diberitahu berkemungkinan menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit positif COVID-19 pada 1 September lalu ketika menghadiri sidang DUN pada keesokan harinya.

Beliau kemudiannya terus tinggal di rumah dan menjalani kuarantin kendiri sebelum diuji negatif.

“Pada 6 September, Kementerian Kesihatan secara rasminya mengeluarkan arahan kuarantin kendiri di rumah dari 1 sehingga 10 September dan mewajibkan saya memakai gelang merah jambu, yang mana saya tidak keluar ke tempat awam selepas itu,” katanya.

Manakala, mengenai pengedaran bakul makanan pula, Guan Eng berkata, beliau tidak keluar mengedar bakul makanan selepas 2 September seperti yang didakwa beberapa pihak berdasarkan hantaran di dalam media sosial Facebooknya.

Katanya, hantaran Facebook pengedaran bakul makanan itu dilakukan beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos di kawasan Parlimennya di Bagan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button