Berita Utama

Hanya kakitangan lengkap dua dos boleh masuk premis sekolah

Termasuk pekerja pembersihan, pekerja bekalan makanan bermasak dan mentah

PUTRAJAYA, 2 Safar 1443H, Khamis –  Hanya kakitangan sekolah yang sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19 akan dibenarkan memasuki premis sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, keputusan itu bagi memastikan usaha mencapai imuniti kelompok di kawasan sekolah.

Arahan itu melibatkan pekerja perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK), perkhidmatan kawalan keselamatan (PKK), perkhidmatan bekalan makanan bermasak (BMB) serta bekalan makanan mentah (BMM).

Mereka perlu menjadi penerima dos lengkap yang sudah melepasi hari ke-14 daripada tarikh kedua suntikan sama ada untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

“Bagi penerima vaksin satu dos keluaran syarikat Johnson & Johnson serta CanSino pula, mereka perlu melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” kata pekeliling yang dikeluarkan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) kementerian itu, Noor Azman Abdul Rahman.

Arahan itu dibuat selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, bahawa sesi persekolahan secara bersemuka dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 3 Oktober depan.

Ia juga tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Berikutan itu, KPM mengingatkan kontraktor perkhidmatan PKK, KBK, BMB dan BMM untuk memastikan pekerja seliaan mereka lengkap divaksinasi sebelum memasuki kawasan sekolah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button