Hospital di Macedonia Utara terbakar, 10 pesakit COVID-19 maut
Angka kematian dijangka meningkat: Menteri Kesihatan

PRISTINA, 2 Safar 1443H, Khamis – Hospital yang menempatkan pesakit COVID-19 di Macedonia Utara dilaporkan terbakar dan mengorbankan 10 pesakit yang sedang dirawat, kata Menteri Kesihatan, Venko Filipce.
Menerusi perkongsian di laman Twitter, Filipce mengesahkan kematian berkenaan dan menjangkakan jumlah itu akan bertambah.
“Setakat ini kita belum tahu punca kebakaran. Mungkin bermula di sebuah klinik COVID-19 di bandar Tetovo, barat laut Macedonia Utara.
“Ini kemalangan yang dahsyat dan saya jangka jumlah kematian akan meningkat. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Asap tebal memenuhi kawasan hospital ketika pasukan bomba dan penyelamat memadamkan api kebakaran.
Pasukan bomba mengambil masa 45 minit untuk memadamkan kebakaran di klinik yang dibina tahun lalu untuk rawatan pesakit COVID-19.
Kes COVID-19 di Utara Macedonia meningkat sejak pertengahan Ogos lalu, sekali gus memaksa pihak kerajaan memperkenalkan langkah kawalan sosial yang lebih ketat seperti pas kesihatan di kafe dan restoran.
Macedonia Utara mempunyai sekitar dua juta penduduk dan kemudahan sektor kesihatannya agak ketinggalan.
Malah sejak kebelakangan ini peningkatan kes coronavirus dengan purata 30 kematian harian dan jumlah keseluruhan lebih 6,100 kematian sejak pandemik bermula tahun lalu. – Agensi