Berita Utama

Hua Zong mahu kerajaan tubuh jabatan ‘hal ehwal bukan Islam’

Tian Chuan dakwa permintaan mereka tak cabar kedudukan Islam

KUALA LUMPUR, 2 Safar 1443H, Khamis – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina, Hua Zong terkini meminta kerajaan membincangkan dengan serius mengenai penubuhan jabatan atau jawatankuasa ‘hal ehwal bukan Islam’. 

Presidennya, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, selama ini Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hanya cenderung kepada hal ehwal dan kemajuan Islam. 

Tidak berpuas hati dengan perkara itu, beliau mahu penubuhan jabatan baharu yang dicadangkan tersebut dapat menguruskan pembangunan masyarakat bukan Islam di negara ini.

“Kita mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan Jabatan atau Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri atau mana-mana agensi yang difikirkan sesuai bagi membantu kerajaan menguruskan hal ehwal berkaitan secara lebih berkesan dan sistematik,” katanya seperti dilapor akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, semalam.

Mengulas lanjut, Tian Chuan berkata, berdasarkan keadaan negara yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama serta hak kebebasan beragama dan kemajuan yang termaktub dalam Perlembagaan, maka permintaan ini tidak perlu dilihat sebagai mencabar kedudukan Islam.

“Jika Jabatan Hal Ehwal Bukan Islam ditubuhkan, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai tindakan mencabar kedudukan Islam, sebaliknya ia harus dilihat sebagai cerminan positif semangat dalam Perlembagaan sebuah negara yang majmuk dan harmoni,” dakwanya.

Tian Chuan yang juga Pesiden Hua Zong Sabah berkata demikian dalam kenyataannya berhubung penjelasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi bahawa sejumlah rang undang-undang (RUU) syariah yang dicadangkan untuk dilaksanakan, termasuk RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, belum dibawa ke peringkat Kabinet.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan merangka empat RUU syariah baru, termasuk RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam, RUU Wakaf, RUU Mufti, RUU Mahkamah Syariah dan lain-lain.

Bagaimanapun, Tian Chuan menegaskan, kepercayaan dan agama serta kemajuan rakyat pelbagai kaum perlu dihargai dan dihormati sebagai manifestasi semangat Keluarga Malaysia.

Menurutnya lagi, pada tahun 2008, kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan ‘Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam’ dinamakan sebagai Jawatankuasa Khas Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Selangor tahun lalu yang menyalurkan bantuan sepanjang tahun dan dana yang telah dinstitusikan untuk kemajuan hal ehwal bukan Islam di negeri tersebut. 

Maka, Tian Chuan mahu pendekatan seperti ini dicontohi oleh negeri-negeri lain.

“Tindakan Kerajaan Pusat menyalurkan dana kepada pertubuhan bukan Islam melalui Kementerian Perpaduan baru-baru ini, amat dialu-alukan, namun untuk jangka masa panjang, ‘Jabatan atau Jawatankuasa Hal Ehwal Bukan Islam’ patut ditubuhkan untuk menguruskannya dengan lebih baik kerana ia akan lebih menepati dasar kemajuan dan penginstitusian.

“Kemajuan hal ehwal bukan Islam dalam negara yang melibatkan kuil, perkuburan Cina dan perancangan program berkaitan turut memerlukan kerjasama berterusan dari kerajaan selain dana yang diinstitusikan,” dakwanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button