Berita UtamaIstimewa

Kerajaan tak tegas punca rakyat bukan Melayu tak kuasai bahasa kebangsaan

Rata-rata mereka belajar bahasa Melayu kerana nak lulus peperiksaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 2 Safar 1443H, Khamis – Kerajaan patut memainkan peranan lebih jitu bagi memastikan bahasa kebangsaan dimartabat, dengan tidak berkompromi penggunaan bahasa lain dalam urusan rasmi negara, tidak kira apa jua bentuk dan sifatnya.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sikap tidak tegas kerajaan telah menyebabkan tiada usaha bersungguh-sungguh dalam kalangan bukan Melayu, untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.

“Ini kerana mereka mengetahui pasti akan adanya terjemahannya dalam bahasa-bahasa lain.

“Dengan ini, langsung tiada usaha serius untuk menguasai bahasa kebangsaan dengan baik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Dalam pada itu, Kok Seong turut berkongsi pandangan bagi melahirkan rasa cinta kepada bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat, khususnya kepada bukan Melayu.

Antaranya, mereka dikehendaki mempelajarinya atas orientasi integratif, yakni untuk menjadi sebahagian daripada komuniti bahasa Melayu.

Jelasnya, cara begini dapat dilihat pada etnik Cina Malaysia yang berhjirah ke Australia misalnya, yang dengan sukarela mahu segera berintegrasi, malah berasimilasi ke dalam struktur sosial di sana, antaranya dengan menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan dengan kadar cepat.

Sebaliknya yang berlaku di Malaysia ialah mereka yang bukan Melayu ini rata-ratanya memilih untuk mempelajari bahasa Melayu atas orientasi instrumental, yakni sebagai syarat yang diperlukan, iaitu sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus seluruh peperiksaan awam.

Untuk itu, Kok Seong berkata, mereka akan bertungkus-lumus untuk memperoleh gred yang diperlukan.

“Setelah berjaya dalam hal ini, antaranya dengan menghafal karangan dan mengambil tuisyen untuk memahami selok-belok nahu bahasa Melayu, ia akan semacam dipersetankan, yakni tidak dipentingkan lagi dalam kehidupan nasional mereka sebagai rakyat negara ini, apatah lagi dalam kehidupan domestik di rumah dan dalam komuniti Cina.

“Selain orientasi salah ini, kebenaran penggunaan empat bahasa dalam kehidupan nasional, iaitu bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil, sebagai bahasa utama, yang sepatutnya menggunakan bahasa kebangsaan sahaja, sangat tidak membantu dalam usaha memupuk rasa cinta kepada bahasa kebangsaan.

“Dengan fenomena begini, kewujudan bahasa kebangsaan dilihat sebagai simbolik semata-mata, yakni sekadar perhiasan dan tidak lebih daripada itu kerana tiada peranan fungsional langsung padanya dalam erti kata sebagai identiti negara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ini kerana bahasa kebangsaan boleh digantikan walaupun dalam urusan rasmi negara oleh bahasa-bahasa lain, sama ada dalam bentuk terjemahan lisan mahupun tulisan, atas alasan kepentingan awam.

“Terjemahan ini tidak boleh dilakukan lagi setelah sekian lama kita merdeka. Ia hendak dihentikan serta-merta untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang penggunaan, lebih-lebih lagi yang rasmi,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button