Berita Utama

Mohon kerajaan benarkan solat Jumaat dengan kapasiti separuh

‘Jika pawagam boleh dibuka, patutnya masjid pun boleh'

KUBANG PASU, 2 Safar 1443H, Khamis – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Kubang Pasu mengesyorkan supaya masjid diberikan kebenaran untuk melaksanakan aktiviti solat Jumaat dengan kapasiti separuh.

Yang Dipertuanya, Dr Hisham Sharif memberi cadangan demikian susulan pengumuman aktiviti panggung wayang di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi COVID-19, berkuat kuasa 9 September ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu membabitkan kapasiti 50 peratus di ruang dewan tayangan pawagam.

“Jika pawagam boleh dibuka begitu, dengan tempat tertutup, dan dua jam setiap sesi, maka sudah lebih daripada wajar untuk buka masjid, terutamanya untuk solat Jumaat dengan kapasiti separuh.

“Jika kapasiti masjid 600 orang, boleh masuk 300 orang. Kalau buat 1/3 kapasiti pun boleh masuk 200 orang dah. Lebih ramai yang berpeluang,” kata Dr Hisham dalam kenyataan yang disiar di isma.org.my, hari ini.

Pada masa sama, Dr Hisham berkata, adalah tidak wajar untuk hadkan jumlah jemaah tanpa mengira keluasan masjid, contohnya hanya 50 orang sahaja dengan dua dos vaksin yang dibenarkan.

“Mohon dipertimbangkan untuk dibuka dengan lebih luas Jumaat ini, baik di negeri Kedah atau negeri-negeri lain juga,” katanya.

Minggu lalu, di Selangor, jumlah bilangan jemaah bagi menunaikan solat Jumaat dan Fardu dipertingkatkan kepada 50 hingga 100 orang berbanding enam sahaja sebelum ini.

Berdasarkan pekeliling Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kebenaran itu susulan trend angka penurunan yang agak konsisten setelah lebih sebulan dengan purata 4,000 kes.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button